Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Sabah akan terus diberi perhatian khusus oleh kerajaan pusat dalam pelbagai aspek.

Keprihatinan itu menurut Ahmad Zahid, diikrar atas dasar hubungan akrab yang terjalin selama ini antara pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan.

Jelas Ahmad Zahid, walaupun Sabah mempunyai kepelbagaian etnik, dan dipisahkan lautan dengan Semenanjung Malaysia, negeri di bawah bayu itu, disifatkan beliau, sangat dekat di hati Kerajaan Pusat.

Ini adalah berdasarkan sokongan dan keikhlasan yang ditunjukkan kepimpinan Sabah selama ini.

"Jalinan yang baik cara peribadi antara yang berhormat Ketua Menteri Sabah dan seluruh kepimpinannya bersama dengan YAB Perdana Menteri Malaysia dan seluruh jemaah menterinya, Sabah akan tetap di hati pemimpin-pemimpin pusat untuk kita sama-sama memaju pembangunan Negara kita," kata Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri bersama barisan pemimpin kerajaan negeri Sabah pada Khamis.

Ahmad Zahid turut memuji kepimpinan negeri Sabah kerana tetap teguh berdiri menyokong kerajaan, di sebalik persepsi negatif yang melanda ketika ini.

Menurut Ahmad Zahid semua pihak perlu bersifat adil terhadap kepimpinan negara dan persepsi negatif yang dilemparkan kepada pemimpin melalui media sosial tidak seharusnya menenggelam atau menafikan penghargaan kepada perjuangan pemimpin yang bertungkus-lumus membela rakyat.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, serta barisan kepimpinan negeri.