KOTA KINABALU:Sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menyalurkan bantuan kepada penduduk di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Ir Shahelmey Yahya, berkata kumpulan terbabit juga dinasihatkan bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan, terutama bagi penghantaran bantuan ke kawasan zon merah.

"Kita menggunakan khidmat petugas barisan hadapan yang dilengkapi set pakaian perlindungan diri (PPE) untuk masuk ke kawasan-kawasan tersebut bagi mengagihkan bakul makanan.

"Ini penting demi keselamatan kedua-dua pihak iaitu pihak yang menghantar dan menerima bantuan.

"Bagi kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, kita menggalakkan kumpulan sukarelawan supaya hubungi Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di daerah-daerah terlibat.

"Kita kena faham bahawa kita bukan berdepan bencana biasa tetapi bencana yang mempunyai risiko penyakit berjangkit," katanya dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan di pusat pengumpulan bantuan bakul makanan di Kota Belud dan Tuaran pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat di negeri ini perlu memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP demi mengelakkan diri daripada menjadi agen penyebaran virus itu tanpa sedar.

Sementara itu, katanya secara keseluruhan sebanyak 131,052 bakul makanan telah diagihkan di 27 daerah di Sabah.