KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini melaksanakan projek perintis bas elektrik pertama dengan menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada orang awam sebagai usaha menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik kepada rakyat.

Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Mohd Shukor Abdul Mumin berkata, perkhidmatan bas elektrik atau dikenali sebagai e-BusKK adalah sebahagian daripada projek perintis selama enam bulan dan orang ramai boleh merasai menaiki kemudahan pengangkutan berkenaan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu bermula dengan laluan antara Sepanggar, Menara Kinabalu dan ke pusat bandar.

"Selain menyediakan perjalanan mesra alam, e-BusKK dengan kapasiti sehingga 54 penumpang akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) atas kerusi roda kerana dilengkapi dengan tanjakan menaiki kenderaan.

"Ia turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan penumpang, sistem kedudukan global (GPS) dan sistem pemantauan pemandu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan pertama e-BusKK di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

Mohd Shukor berkata projek perintis itu dilaksanakan bagi menilai kemampanan perkhidmatan bas elektrik di Sabah.

"Buat masa ini kita hanya menggunakan satu bas sahaja dan ini hanyalah permulaan untuk mengukur kebolehpercayaan bas elektrik berkenaan dalam menyokong pengangkutan awam sedia ada serta kita akan mendapatkan maklum balas daripada pengguna mengenai perkhidmatan bas tersebut. Bas berkenaan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik dan perkhidmatan e-BusKK adalah antara inisiatif mengurangkan pelepasan karbon di Kota Kinabalu menjelang 2050.

"Untuk mencapai sasaran menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, semua orang perlu terlibat. Harapan kami ialah perkhidmatan bas elektrik akan diperluaskan ke daerah lain di seluruh Sabah," katanya.

Mohd Shukor berkata selepas projek perintis itu, pengangkutan bas elektrik berkenaan dijangka mula beroperasi dengan lima hingga 20 bas pada tahun hadapan.

Katanya, pengenalan bas elektrik berkenaan adalah hasil kerjasama antara QSB dengan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, satu daripada pengeluar bas elektrik dan badan bas aluminium terkemuka di Asia.

-- BERNAMA