KOTA KINABALU: Sabah memanfaatkan pelancongan, kebudayaan, muzik serta kerjasama dengan rakan perniagaan untuk menarik lebih ramai pelancong yang seterusnya membantu mengekalkan laluan penerbangan Kota Kinabalu-Guiyang, China bagi jangka panjang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata mengekalkan keterhubungan udara memerlukan lebih daripada sekadar menyediakan pesawat.
“Ia memerlukan mereka yang mahu melancong untuk merasai pengalaman di destinasi dan membina hubungan yang berpanjangan.
“Penerbangan terus membuka ruang, namun kita perlu memberikan sebab kepada orang ramai untuk terus melancong. Sebab itu kami menggabungkan pelancongan, kebudayaan, muzik, media dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry mengetuai delegasi Sabah di Guiyang bagi program pertukaran untuk mempromosikan pengalaman perjalanan dua hala serta memperkukuh penglibatan antara penggiat pelancongan dan media.
Lawatan itu juga bertujuan memberikan pendedahan lebih meluas berkaitan Sabah dalam pasaran China.
Selain itu, Jafry berkata matlamat utama inisiatif tersebut adalah untuk menterjemahkan keterhubungan kepada peluang nyata bagi Sabah.
“Kita tidak mahu keterhubungan hanya wujud dalam jadual penerbangan. Kita mahu tempat duduk (pesawat) diisi pelancong yang menerokai Sabah, menyokong industri pelancongan kita serta merasai kebudayaan di Sabah yang juga memberi peluang kepada perniagaan tempatan,” katanya.
Delegasi Sabah ke Guiyang merangkumi penggiat industri pelancongan, kumpulan kebudayaan, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah serta Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.
Pada lawatan itu, delegasi turut menyertai program di Anshun dan Chongqing yang menyediakan pelbagai platform bagi pertukaran pelancongan, kebudayaan dan industri.
Program itu juga menampilkan penyanyi Malaysia Shila Amzah, menjadikan pertukaran muzik dan budaya lebih menarik serta memikat khalayak di China.
-- BERNAMA