Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan perlembagaan dan intitusi Yang Dipertua Negeri Sabah dipertahankan.

Sambil menyambut baik keputusan itu, Ketua Menteri sementara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan itu turut menepis andaian bahawa beliau mempunyai kuasa 'mutlak' membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

"Kerana itu, nak membubarkan Dewan itu bukan terletak dengan saya, bukan terletak dengan mana-mana pihak, ia ialah kuasa mutlak TYT (Tuan Yang Terutama).

"Kita boleh menasihatkan, kita boleh memberi pandangan, kita boleh mohon, tetapi yang menentukannya adalah TYT. Dan TYT pun sudah tanda tangan dan mewartakannya.

“Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun sudah (keluar) writ dan mengumumkan tarikh," katanya kepada media hari ini.

Tambah Mohd Shafie, beliau amat menghargai apa yang dilakukan pihak kehakiman dalam mendaulatkan perlembagaan negeri.

Terdahulu, kira-kira jam 10.30 pagi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan menolak semakan kehakiman terhadap cabaran 33 Ahli (ADUN) diketuai bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman.

Ia susulan mahkamah mendapati keputusan TYT tersebut tidak boleh diadili.

Penetapan berkenaan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim selepas sesi prosiding di Bilik Bicara Mahkamah Persekutuan Rayuan, di sini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, dengan penyelesaian mahkamah tersebut, ia akan menjadi pendorong kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 26 September hadapan.

"Yang penting bagi kita ialah, kesiapsiagaan kita untuk berhadapan dengan PRN, untuk kita kembalikan hak ini kepada rakyat, untuk menentukan proses lompat sana lompat sini adalah satu langkah yang tidak sihat.

"Hanya untuk kita katakan bahawa, pembentukan kerajaan itu berjalan lancar sejak beberapa tahun ini, tetapi malangnya, ada pihak-pihak tertentu menggunakan, bukan hanya keupayaan mereka, tetapi juga kewangan mereka, untuk mengganggu gugat kestabilan negeri ini," katanya.

Pembubaran DUN Sabah bermula pada 30 Julai lalu selepas Mohd Shafie menerima perkenan daripada TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Ia susulan Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga menerima sokongan majoriti mudah seramai 32 wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu di negeri Sabah.