Sabah dan Sarawak mempunyai keistimewaan dari aspek perpaduan dan keharmonian kaum serta agama yang perlu dipelajari oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perpaduan dan keharmonian kaum serta agama merupakan kekuatan di kedua-dua negeri itu yang jarang dibincangkan.

"Tetapi ada satu perkara yang istimewa untuk Sabah dan Sarawak, bab perpaduan antara agama dan kaum saya fikir kita di Semenanjung harus belajar daripada mereka.

"Saya fikir kita harus dedahkan rakyat Malaysia bahawa di sana ada teladan-teladan baik yang harus kita ikuti," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara dengan topik 'Merdeka Jiwa Raga: Malaysia Prihatin' terbitan Bernama TV malam tadi.

Berhubung sentimen Sabah for Sabahans dan Sarawak for Sarawakians yang dibangkitkan sesetengah pihak termasuk parti-parti politik di kedua-dua negeri yang dilihat mungkin memberikan sedikit impak kepada patriotisme dalam kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak, Saifuddin berkata ini mungkin disebabkan mereka menganggap bahawa kandungan Perjanjian Malaysia 1963 tidak dilaksanakan.

"Bagaimanapun kerajaan telah pun menyatakan kesediaan untuk melunaskan, kalaupun tidak semua sekali gus, sekurang-kurangnya sebahagian besar daripadanya dan ini sudah disampaikan dan kedua-dua kerajaan baik di Sabah dan Sarawak sudah maklum perkara ini," katanya.

Menurut Saifuddin beliau maklum perkara itu sering dibangkitkan terutama ketika menjelang pilihan raya negeri (PRN) apabila ada parti-parti politik turut dilihat mempolemikkan isu tersebut.

"Yang paling utama ialah 'message' kita tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk Sabah dan Sarawak dan juga pernyataan-pernyataan terutamanya oleh orang politik.

"Ada waktunya orang politik membuat pernyataan-pernyataan yang tak begitu tepat dan seolah-olah Sabah dan Sarawak itu dipinggirkan begitu sekali," katanya.

Mengakui masalah pendidikan dan infrastruktur yang sedikit ketinggalan di negeri-negeri berkenaan, beliau berkata usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur berkenaan sedang berjalan.

-- BERNAMA