KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus berkerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, kerajaan negeri antara lain akan melaksanakan setiap inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia tersebut dengan sasaran ditetapkan dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Menurutnya walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri telah diserahkan kerajaan Persekutuan kepada negeri, kerjasama itu tetap utuh dengan menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi kedua-dua pihak bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan proses pengambilalihan kuasa kawal selia dengan lancar dan teratur," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji yang mewakili kerajaan Sabah menerima kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili kerajaan Persekutuan pada majlis simbolik penyerahan itu di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Pada majlis sama, tujuh projek yang disiapkan tahun lepas bagi mengukuhkan bekalan elektrik di Sabah, diserahkan kerajaan Persekutuan kepada negeri melibatkan enam Pencawang Pembahagian Utama (PPU), dan Stesen Janakuasa Melawa di Sepanggar di sini.

Pada 3 Jan lepas, Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan.

RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu diluluskan dengan suara terbanyak.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan Transformasi SESB ke arah kemampanan syarikat utiliti tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan memastikan penglibatan secara langsung semua pihak berkepentingan di Sabah bagi memastikan isu semasa dapat ditangani dengan cara lebih berkesan dan mampan.

"Semoga semua usaha ini akan membawa Sabah ke tahap bekalan tenaga yang berdaya harap demi kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

-- BERNAMA