KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia 2021, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, sambutan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September depan.

Menurutnya, perkara mengenai sambutan itu telah dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia secara maya yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah semalam.

"Sambutan akan diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kita berkemungkinan mengehadkan kepada 500 orang sahaja tetapi ia bergantung kepada situasi semasa COVID-19.

"Bagi pihak kabinet negeri, kita berterima kasih dan menghargai keputusan Kerajaan Pusat atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan sambutan ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bung yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia peringkat negeri berkata, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana dengan jabatan dan agensi berkaitan diadakan sebelum ini.

Tambah Bung selaras dengan tema tahun ini iaitu, 'Malaysia Prihatin' satu persembahan khas dari artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dipersembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam sama-sama menangani wabak COVID-19.

“Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan genersi muda, dalam pembentukan negara yang bersatu padu dan harmoni.

"Selain itu, sambutan ini juga kita mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersoladariti memerangi pandemik COVID-19,” katanya.