SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menawarkan insentif wang tunai kepada individu yang menyerahkan anjing terbiar secara sukarela menerusi Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026.
Datuk Bandar, Datuk Masri Baharuddin berkata, program yang akan bermula pada 24 Ogos itu bertujuan membantu mengawal populasi anjing terbiar selain meningkatkan kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti di kawasan pentadbiran MBS.
Menurutnya, ini kerana pihaknya menerima banyak aduan, namun ada kalanya berdepan kesukaran untuk menangkap haiwan terbabit kerana kebiasaannya ia sudah tiada di lokasi ketika operasi tangkapan dilakukan.
"Kita dapati isu anjing terbiar ini terlalu banyak dan mula mengancam keselamatan penduduk sehingga ada yang menyalahkan MBS kerana gagal menangkap haiwan itu.
"Jadi, sebab itulah kita ambil inisiatif menawarkan pemberian insentif sebanyak RM50 bagi seekor anjing dewasa dan RM25 bagi anak anjing berusia bawah enam bulan kepada mereka yang membuat serahan anjing secara sukarela," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan, antaranya pemohon mestilah warganegara Malaysia dan penduduk dalam kawasan pentadbiran MBS.
Jelasnya, anjing yang diserahkan juga mestilah dalam keadaan hidup, tidak mengalami kecederaan serius atau didera serta tidak berlesen atau mempunyai bukti pemilikan.
"Yang penting, kesemua syarat yang ditetapkan serta kaedah penyerahan perlu dipatuhi bagi membolehkan mereka mendapatkan bayaran insentif tersebut," katanya.
Selain itu, beliau turut mempertahankan inisiatif berkenaan yang merupakan antara langkah tambahan MBS untuk bekerjasama dengan orang awam dalam mengatasi isu anjing liar yang semakin berleluasa.
Malah katanya, inisiatif itu juga bukan bermaksud MBS mahu lepas tangan dalam isu terbabit kerana kontraktor yang dilantik oleh MBS bagi tujuan berkenaan masih menjalankan tanggungjawab.
"Ini sebagai satu penyelesaian. MBS buat dua cara iaitu kontraktor tangkap seperti biasa, tetapi penduduk juga boleh ambil peranan sama.
"Jadi, tak timbul isu MBS tak buat kerja. Kita berusaha sedaya upaya untuk membanteras isu anjing terbiar dan liar ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kesemua anjing yang diserahkan akan diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk ditempatkan di lokasi yang sesuai.
Masri berkata, bagi sesiapa yang mahu mengambil anjing tersebut, mereka akan dikenakan bayaran RM250 selain haiwan terbabit akan dimandulkan terlebih dahulu.
"Ada orang yang mungkin lepaskan anjing peliharaan dia dan apabila ditangkap mereka buat aduan kepada MBS.
"Kita tiada masalah untuk pemilik ambil semula anjing itu, tetapi perlu bayar kepada MBS dan pada masa akan datang anjing itu juga akan kita letakkan cip bagi memastikan ia dapat dikesan sekiranya dibiarkan," katanya. - Sinar Harian