Skip to main content

Malaysia

Salah guna identiti rasmi PDRM boleh dikenakan tindakan - KPN

KUALA LUMPUR, 15 Mei -- Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ketika sidang media mengenai Op Teguh 2.0 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
PDRM memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau identiti rasmi pasukan itu oleh mana-mana individu, syarikat atau organisasi bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial tanpa kebenaran. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan identiti rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tidak sah atau bagi tujuan mengelirukan sehingga mewujudkan persepsi pasukan itu mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat serta dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau identiti rasmi pasukan itu oleh mana-mana individu, syarikat atau organisasi bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial tanpa kebenaran sewajarnya.

Beliau berkata identiti rasmi pasukan itu merupakan aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi mengelirukan.

“PDRM menegaskan bahawa kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat kelulusan atau sokongan rasmi PDRM hanya berdasarkan penglibatan warga PDRM dalam sesuatu program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata perkara itu boleh disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.

“PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement