Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan tiada keperluan untuk beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan pucuk pimpinan baharu parti itu penggal 2013-2015 pada Muktamar Tahunan ke 59 PAS yang dijadualkan berlangsung 22 - 24 November nanti.

Salahuddin berkata, rakan-rakannya lain yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden lebih berkaliber untuk mengalas tanggungjawab tersebut dan meneruskan visi untuk PAS.

Katanya, beliau lebih selesa untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak 2009 biarpun memperolehi pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden.

"Setelah melihat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden, saya merasakan lebih berkeyaninan untuk mempertahankan jawatan naib presiden yang saya sandang sekarang.

"Jawatan timbalan presiden terlalu tinggi untuk saya dan saya merasakan buat masa ini tiada keperluan untuk saya bertanding jawatan tersebut," kata beliau kepada Astro AWANI.

Salahuddin bagaimanapun menghargai pencalonan yang diterima beliau untuk jawatan Timbalan Presiden dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Kawasan yang mencalonkan beliau bertanding jawatan tersebut.

Selain menerima pencalonan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden, Salahuddin juga layak bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Setakat ini hanya Salahuddin menyatakan pendirian untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu yang merupakan satu-satunya calon yang sudah menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2011.

Mohamad berkata beliau mempunyai visi untuk dilaksanakan jika dipilih memegang jawatan tersebut bagi penggal kedua.

"Saya akan pertahankan jawatan Timbalan Presiden kerana saya ada visi untuk penggal kedua jika dipilih oleh perwakilan.

"Penggal lepas saya tumpu kepada pengukuhan demokrasi, memberi kefahaman kepada ahli tentang demokrasi, untuk penggal kedua saya mahu fokus kepada integriti politik," katanya

Tiga lagi calon yang layak bertanding jawatan timbalan presiden, Datuk Husam Musa, Datuk Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah setakat ini belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak.

Husam dikatakan akan membuat keputusan sama ada bertanding timbalan presiden atau mempertahankan jawatan naib presiden sekembalinya dari lawatan kerja ke Kurdistan.

Dalam satu forum baru-baru ini, Husam menegaskan tidak ada sebab untuk beliau mencabar Mohamad Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.

"Apa alasan yang terbaik untuk saya melawan Abang Mat (Mohamad Sabu)? Kamu ada alasan untuk saya melawan Abang Mat.

"Kalau tidak ada alasan yang baik, kenapa (saya) mahu melawan beliau?" katanya.

Tuan Ibrahim merupakan calon paling popular untuk jawatan Timbalan Presiden dan dikatakan mendapat pencalonan paling tinggi untuk jawatan tersebut.

Pada pemilihan lalu, Tuan Ibrahim tewas kepada Mohamad dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan seorang lagi calon iaitu Nasharuddin Mat Isa.

Tuan Ibrahim memperolehi 399 undi, Nasharuddin (224) manakala Mohamad memenangi pertanding tersebut dengan 420 undi.

Sumber dalaman PAS memberitahu, Tuan Ibrahim lebih berminat untuk bertanding jawatan Naib Presiden dan agak keberatan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana bersimpati kepada Mohamad yang dilihatnya banyak berkorban untuk parti hingga sering ditangkap polis dan turun naik mahkamah kerana berjuang untuk rakyat.

Namun sehingga kini, Pesuruhjaya PAS Pahang itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan Timbalan Presiden.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar dilaporkan berminat untuk bertanding jawatan nombor dua PAS biarpun tidak popular diperingkat nasional.

Sumber PAS memberitahu, Mohd Amar biarpun merupakan calon mendapat sokongan kumpulan pro-ulama tetapi hanya popular di Kelantan.

Mohd Amar yang tewas dua kali dalam perebutan jawatan Naib Presiden sebelum ini dirasakan perlu menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Malah kritikan terhadap pentadbiran Kelantan selepas era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut dikaitkan dengan kelemahan Mohd Amar selaku pembantu Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Yaakob.

Pemerhati politik berpendapat, Mohd Amar sepatutnya melupakan hasrat bertanding jawatan nombor dua PAS kerana darisegi ketokohan beliau jauh ditinggalkan oleh Mohamad Sabu biarpun sering dikaitkan dengan berbagai kontroversi.

Malah, kumpulan yang cuba menyekat kemaraan Mohamad juga gagal membuktikan bekas tahanan ISA itu mengikut fahaman Syiah.

Kerana itu, Mohamad biarpun penuh kontroversi masih dianggap gandingan terbaik bagi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekurang-kurang untuk sepenggal lagi.