PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini dapat menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang.

Peguam Datuk S.N Nair, yang mewakili Lim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa perayu (Lim) dan responden-responden telah mencapai persetujuan agar penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Mac digantung sementara menunggu penyelesaian rayuan Lim di Mahkamah Rayuan.

"Pihak-pihak terlibat juga bersetuju bahawa perayu harus mendepositkan jumlah penghakiman RM2 juta ke dalam akaun klien di atas nama peguam cara responden-responden iaitu Tetuan A.J. Ariffin, Yeo & Harpal sebagai pemegang taruh sehingga pelupusan rayuan dan jumlah itu akan diletakkan di dalam satu akaun simpanan tetap,” kata Nair.

Peguam Datuk Harpal Singh Grewal, yang mewakili MonSpace dan Lai mengesahkan perkara itu.

Perintah persetujuan itu direkodkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Lim untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebabkannya memfailkan permohonan penangguhan baharu itu di Mahkamah Rayuan.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019, kerana mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Lai berkata Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati MonSpace dan Lai berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lim kerana memfitnah dan kenyataan Lim juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka.

-- BERNAMA