KOTA BHARU: Pemberian sumbangan Tunai Rahmah atau STR fasa ketiga yang bermula 26 Jun nyata membantu sebahagian besar penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidiladha.

Pemberian yang dipercepatkan itu membantu penerima merancang perbelanjaan dengan lebih baik, apabila mendapat wang tambahan selain pendapatan bekerja untuk membeli barang keperluan persiapan.

Siti Jaidah Yusuf yang bekerja sebagai tukang cuci menyatakan rasa syukurnya dengan wang yang diterima di kala umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya Aidiladha.

"Alhamdulillah, bantuan STR dapat saya gunakan sebagai wang perbelanjaan keluarga untuk membeli keperluan hari raya," katanya ketika ditemui di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Kota Bharu, baru-baru ini.

"Biasa kalau hari raya persiapan ala kadar dan dengan adanya wang ini boleh membantu merancang pembelian… sebab selalunya duit gaji cukup makan dan belanja.

"Kakak harap bantuan STR dapat diteruskan oleh kerajaan kerana ia amat membantu kami yang sering kali kekurangan ini, " jelasnya.

Selain penerima berkeluarga, golongan muda turut menerima manfaat STR.

Norafikah Mohd Johari yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai emas adalah antara anak muda yang memerlukan pendapatan tambahan.

Walaupun sudah berkerjaya, wang tambahan diperlukan apabila ingin membuat persiapan hari raya, ditambah pula dengan keadaan suami yang baru  mengalami kemalangan dan tidak mampu membuat kerja berat.

"Ini kali ketiga saya mendapat STR, biasanya saya beli keperluan dapur bayar bil, cukuplah untuk rumah saya," katanya.

"Saya mengharapkan supaya STR diteruskan sebab golongan macam saya ini sangat memerlukannya untuk keperluan harian,” tambahnya.

Senada dengan beliau, suri rumah Tengku Aliza Tengku Abd Aziz, berkata: "Alhamdulillah, STR banyak membantu merancang perbelanjaan saya sekeluarga, ditambah pula dekat dengan Raya korban, banyak keperluan dapur yang nak kena beli."

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mempercepatkan bayaran STR fasa ketiga kepada penerima dengan peruntukan lebih RM2 bilion.

Bayaran STR fasa ketiga bermula sejak 26 Jun lalu hingga 5 Julai melalui akaun bank atau penerima boleh menuntutnya di BSN seluruh negara.

Fasa pertama STR telah pun diagihkan pada 17 Januari 2023 secara berperingkat. Agihan fasa kedua STR pula pada April, diikuti fasa ketiga pada 26 Jun.

Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif Belanjawan 2023 lain boleh didapati di belanjawan.mof.gov.my/manfaat