Sambutan Anwar unik, rakan sejawat pandu kenderaan rasmi bawa PM melawat Ethiopia

Abiy membawa Anwar dan delegasi melawat 'Friendship Park' di Addis Ababa, 18 Nov 2025. Turut kelihatan, Tengku Zafrul dan Dr Zaliha. --fotoBERNAMA
ADDIS ABABA: Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, dalam satu sambutan rasmi yang disifatkan sebagai unik, memandu sendiri kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau memulakan lawatan rasmi ke negara itu pada Selasa.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, memandu sendiri kenderaan untuk menjemput Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada lawatan rasmi ke negara itu.
- Anwar dibawa melawat Muzium Sains Ethiopia dan Friendship Park, menunjukkan kerjasama serta hubungan yang kukuh antara kedua negara.
- Lawatan ini adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia ke Ethiopia, menandakan usaha Malaysia memperluas hubungan dengan benua Afrika melalui Kesatuan Afrika serta memperkukuh hubungan diplomatik yang telah berlangsung selama 60 tahun.
Muzium berkenaan, yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang dengan menaiki kereta, merupakan antara simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.
Anwar turut dibawa melihat "Friendship Park", sebuah taman yang menjadi tumpuan warga Ethiopia serta pelancong yang ingin menikmati kehijauan dan landskap indah.
Abiy kemudian membawa Anwar ke Hotel Sheraton Addis sekali gus mengakhiri acara lawatan pada hari ini.
Sementara itu, Abiy dalam hantaran di laman X mengalu-alukan kedatangan Anwar dan delegasinya untuk lawatan rasmi selama tiga hari.
"Kehadiran anda adalah bukti sebenar persahabatan serta solidariti yang semakin kukuh antara Ethiopia dan Malaysia, dan ia berlaku pada detik yang amat penting buat negara kita," kata Perdana Menteri Ethiopia itu.
Terdahulu, turut menyambut ketibaan Anwar ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia, Mohd Afandi Abu Bakar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Ini merupakan lawatan bersejarah dalam usaha Malaysia mempertingkat hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di sini.
Kesatuan Afrika, yang ditubuhkan pada Julai 2002 serta dianggotai 55 negara, merupakan suara perwakilan benua itu di pentas global dan antara peranan utamanya ialah menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.
Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.
Ia juga bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 Sept 2025, selepas ditutup selama 42 tahun sekali gus memperkukuh hasrat Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan dua hala.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


