PUTRAJAYA: Putrajaya sekali lagi menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan ke-67, sama seperti edisi 2023, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Hari Malaysia pula akan diadakan di Sabah.

"Lokasi khusus (Hari Malaysia) akan diumumkan selepas mesyuarat pertama yang akan dipengerusikan bersama oleh saya dan (Datuk) Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

"Perincian mengenai tema dan logo dan sebagainya akan diumumkan dalam satu majlis kelak," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sambutan Hari Kebangsaan dianjurkan di Putrajaya buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

Pada 2003, pertama kali perarakan Hari Kebangsaan berlangsung di Putrajaya bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-46 melibatkan kira-kira 23,000 peserta, 63 kontinjen, 22 pancaragam, 18 kereta berhias, 20 pesawat dan 312 kenderaan.

Tiga belas tahun selepas edisi kedua dianjurkan pada 2005, Putrajaya kembali menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan 2018 bertemakan 'Sayangi Malaysiaku', dan ia merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama buat kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Putrajaya sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi Hari Kebangsaan setahun selepas itu iaitu pada 2019 dengan tema 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' diangkat sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.

-- BERNAMA