SHAH ALAM: Polis menafikan wujud cubaan ‘memerangkap’ sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, istilah ‘perangkap’ yang digunakan mungkin merujuk kepada tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

“Istilah yang digunakan (ialah) ‘terperangkap’.

“Dia (Muhammad Sanusi) mungkin terperangkap dalam kesesakan kot. Itu yang tak dapat pergi kempen.

“Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang. Jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud ‘perangkap’,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Muhammad Sanusi dinasihatkan agar tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya bagi menjamin keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan setakat ini polis tidak menerima laporan daripada Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan terhadap Muhammad Sanusi.

“Setakat ini laporan tak dibuat. Itu mungkin hanya kenyataan (nak buat laporan),” tambahnya.

Semalam, Vincent dilapor mengemukakan saman terhadap Muhammad Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Ia susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).