MALAYSIA
SARA: Pemimpin luar contohi Kerajaan MADANI - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini. - Foto Bernama
BALING: Pemberian Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali beri sebanyak RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas, menjadi contoh kepada pemimpin negara luar walaupun mereka akui ia sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.
Ringkasan AI
- SARA beri RM100 kepada individu 18 tahun ke atas dijadikan contoh oleh pemimpin ASEAN, walaupun mereka akui sukar dilaksanakan; Malaysia peruntuk RM15 bilion untuk inisiatif ini.
- Anwar tekankan kejayaan negara diukur melalui pengagihan kemakmuran secara adil, sambil memberi jaminan kebajikan rakyat terutama golongan miskin terus dijaga.
- PM ingatkan pemimpin elak rasuah dan salah guna kuasa, demi memastikan negara aman dan ekonomi kukuh.
"Bila kita cakap soal SARA, ada yang mencemuh, tapi mereka lupa bahawa itu tambahan kepada SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR)," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program MADANI Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan semakin meningkat dengan angka yang meyakinkan, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat terutama golongan miskin.
Beliau berkata ukuran sebenar kejayaan sesbuah negara ialah kemampuannya untuk mengagihkan kemakmuran secara adil dan menjamin keselesaan hidup rakyat termasuk di kawasan terpinggir dan terpencil.
"Dalam kerajaan MADANI kita teruskan beri tumpuan dan perhatian dalam soal pembangunan wilayah dan desa...dan dari segi bantuan langsung kepada rakyat," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak agar menjalankan tanggungjawab dengan baik, apabila mempunyai kuasa sama ada dalam pentadbiran negeri mahupun negara.
"Harapan saya, rakan-rakan faham. Jangan rasuah, jangan curi harta rakyat. Kita kena jaga supaya jamin kehidupan rakyat lebih baik. Negara mesti aman, ekonomi pula mesti kukuh," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami