KUCHING: Sarawak bakal menubuhkan satu badan berkuasa bagi memantau, mengurus dan membangunkan kawasan tasik di negeri ini secara menyeluruh.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata perancangan itu dibuat dengan mengambil kira pendekatan negeri lain yang membangunkan kawasan tasik sebagai destinasi peranginan, selain menyediakan kemudahan yang baik termasuk resort.
“Maka, insya-Allah kita akan membangunkan satu badan berkuasa yang akan memantau semua tasik kita (di negeri Sarawak), termasuk sungai yang ada potensi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 di Betong, hari ini.
Abang Johari berkata usaha itu juga dilihat sebagai satu nilai tambah yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kekuatan yang dimiliki Sarawak.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sarawak menerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) akan mewujudkana Akademi Sekolah Penerbangan di Betong bagi menyokong usaha negeri itu ke arah pertanian moden yang melibatkan penggunaan dron.
“Selain daripada pesawat, dron juga penting sebab itu saya menyokong usaha untuk mewujudkan akademi penerbangan di sini dengan kerjasama sektor swasta.
“Ini kerana terdapat keperluan untuk mendapatkan lesen. Selain itu, ruang udara di sini bebas, memudahkan penuntut untuk belajar (menerbangkan dron di ruang udara kawasan Betong),” katanya.
-- BERNAMA