NATIONAL
Sarawak dijangka muktamadkan pengambilalihan MASwings menjelang 31 Dis

Walaupun berlaku perubahan pemilikan, rangkaian RAS yang beroperasi untuk kawasan pedalaman serta kurang perkhidmatan di Sarawak dan Sabah dijangka dikekalkan. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Sarawak dijangka memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd menjelang 31 Dis tahun ini, sekali gus menandakan pencapaian penting kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh hubungan udara serantau melalui syarikat penerbangannya sendiri, AirBorneo.
Ringkasan AI
- Pengambilalihan MASwings oleh Sarawak: Kerajaan negeri Sarawak dijangka memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd menjelang 31 Disember 2025.
- Proses & Kelulusan: AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) sedang berusaha memenuhi syarat kawal selia daripada pihak berkuasa penerbangan.
- Kekalkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS): Walaupun berlaku perubahan pemilikan, rangkaian RAS di Sarawak dan Sabah akan terus beroperasi seperti biasa tanpa gangguan.
"Proses itu turut melibatkan pemindahan aset daripada MAG kepada AirBorneo dan persediaan bagi operasi peralihan yang lancar," katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Dr Jerip menjawab soalan daripada Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) yang ingin mengetahui sama ada proses pengambilalihan MASwings telah diselesaikan dan sama ada perubahan pemilikan itu akan menjejaskan operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Beliau berkata walaupun berlaku perubahan pemilikan, rangkaian RAS yang beroperasi untuk kawasan pedalaman serta kurang perkhidmatan di Sarawak dan Sabah dijangka mengekalkan jadual, kekerapan dan liputan sedia ada.
"Seluruh petugas MASwings akan dikekalkan dan pengalaman mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan operasi serta kesinambungan perkhidmatan semasa dan selepas proses peralihan," katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada Wong, Dr Jerip berkata perjanjian interim RAS antara kerajaan Persekutuan dan MASwings Sdn Bhd yang ditandatangani pada 19 Dis 2024 akan terus berkuat kuasa hingga tamat tempoh pada 31 Dis 2025.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri bersama dengan AirBorneo sedang berunding dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi Persekutuan berkaitan dan pihak berkepentingan utama lain bagi merangka terma dan syarat perjanjian RAS yang baharu.
Beliau berkata ini bagi memastikan perhubungan udara di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah diteruskan tanpa gangguan.
"Perjanjian ini termasuk komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus memberi subsidi kepada RAS kerana akan ada terma dan syarat baharu dengan AirBorneo," katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami