KUCHING: Bahagian Kapit dan daerah Telang Usan di Miri diisytihar sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) susulan penularan virus berkenaan di Wilayah Nunukan dan Krayan di Kalimantan Utara, Indonesia, demikian menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud.

Beliau berkata Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas membuat pengisytiharan demikian memandangkan Kapit dan Telang Usan berada berhampiran dengan wilayah berkenaan.

"Orang ramai termasuk penternak khinzir di kawasan ini (Kapit dan Telang Usan) dinasihat tidak memberi makanan kepada babi, membawa keluar atau masuk babi hidup, daging babi atau produk babi ke kawasan kawalan ASF ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Adrian berkata penternak babi di bahagian lain juga dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan memperketatkan lagi keselamatan bio serta tidak menggalakkan pelawat datang ke ladang ternakan.

"Sila laporkan kepada Pejabat Veterinar Bahagian berdekatan segera sekiranya berlaku kematian tidak normal membabitkan ternakan atau WhatsApp ke 016-284 0918.

"Membawa masuk babi atau produk babi dari Indonesia tanpa permit daripada pihak berkuasa veterinar negeri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya.

-- BERNAMA