SIBU: Kerajaan Negeri Sarawak mahu pengamal media dan golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjadi ejen tidak rasmi dalam menyampaikan maklumat serta sentimen rakyat terhadap polisi yang dilaksanakan di Bumi Kenyalang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier, Hal Ehwal Korporat, Penerangan & Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata ini supaya Kerajaan Negeri dapat mengetahui sejauh mana rakyat faham tentang dasar yang dilaksana. 

"Adakah mereka faham mengapa kita bercakap mengenai hidrogen, mengapa kita mahu mengambil alih bank ataupun syarikat penerbangan sedangkan masih banyak jalan serta jambatan belum dibina?

"Kerajaan mahu tahu persepsi rakyat yang tidak semestinya positif dan akan cuba menerangkan mengapa polisi tersebut dilaksanakan," katanya pada Majlis Sungkei Bersama UKAS di sini pada Rabu.

Beliau berkata maklum balas itu penting supaya polisi pembangunan infrastuktur dan ekonomi menepati apa yang benar-benar dikehendaki oleh rakyat Sarawak.

Abdullah turut mempelawa pelajar IPT di Sarawak untuk memohon latihan praktikal di jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata dengan menjalani latihan itu, mereka akan dapat mengetahui fungsi jabatan dan agensi terbabit.

"Sekiranya berkaitan dengan media, anda boleh menghantar permohonan kepada UKAS. Sekiranya berkaitan bidang kejuruteraan, boleh memohon kepada Jabatan Kerja Raya atau Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.

"Kita boleh juga membantu sekiranya anda mahu menjalani latihan di jabatan dan agensi lain," katanya sambil menambah pelawaan itu datang daripada Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri.

Selain pengamal media, majlis itu dihadiri pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kolej Laila Taib, Maritim Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Vokasional Sibu, Kolej Komuniti Sarikei, pelajar Tahfiz Darul Ullum dan Tahfiz Hidayatul Quran An-Nur.

-- BERNAMA