BELAGA:Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan kawasan Belaga menerusi pelan induk yang sedang dirancang, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Ketua Menteri, pelan induk itu merangkumi pembinaan infrastruktur jalan raya dari daerah Kapit ke Belaga serta mewujudkan bandar baharu dikenali sebagai Belaga Jaya. 

Ujarnya, rancangan pembangunan seperti pembinaan laluan darat dilakukan atas faktor keperluan rakyat kawasan tersebut khasnya dari segi keselamatan.

Ini kerana tambah beliau, laluan sungai yang menjadi antara laluan utama penduduk kawasan berkenaan sebelum ini telah mengorbankan banyak nyawa.

“Jadi ini adalah perkara yang perlu kita ambil kira. Oleh sebab itu, saya pergi ke Nanga Mujong dari Kapit pada dua minggu lepas melakukan tinjauan menggunakan motorsikal.

“Ini bermakna kami amat serius untuk membangunkan infrastruktur jalan raya khasnya dari Kapit ke Belaga,” katanya.

Selain itu, pelan berkenaan juga meliputi cadangan untuk mewujudkan sebuah bandar baharu, Belaga Jaya yang terletak berdekatan Pekan Belaga.

“Seperti apa yang saya katakan, Sarawak sudah ada pelan induk untuk kawasan Belaga.

“Ia meliputi rancangan untuk membina kawasan perumahan baharu. Kedua adalah kawasan komersial dan yang ketiga pula meliputi pembangunan di kawasan seberang sungai,” dedahnya.

Tidak terhenti di situ, Abang Johari turut memberitahu beliau telah meluluskan cadangan pembinaan dataran pekan Belaga bernilai RM20 juta dan sebuah masjid di kawasan Jalan Bukit Jayong-Amo dengan kos berjumlah RM10 juta.

Jelasnya, kedua-dua tempat berkenaan mampu menyemarakkan lagi perpaduan masyarakat berbilang agama di Belaga. 

“Untuk pengetahuan, Liwan adalah individu yang memohon kepada saya untuk meluluskan peruntukan bagi membina masjid ini,” kongsi Abang Jo.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Tebingan Belaga dan pecah tanah Masjid Daerah Belaga pada Sabtu.