Kerajaan Sarawak memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching pada Khamis.

Tindakan itu dibuat Sarawak susulan keengganan syarikat minyak negara itu membayar cukai jualan produk petroleum lima peratus.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, writ saman terhadap petronas itu dibuat kerajaan negeri pada Khamis.

"Kerajaan negeri Sarawak telah memfailkan satu writ saman terhadap Petronas untuk mendapat balik bayaran yang kita tuntut sebanyak 5 peratus terhadap barangan petroleum yang dieksport daripada negeri Sarawak.

"Memang kerajaan negeri serius dalam melaksanakan hak kita untuk mengenakan lima peratus cukai jualan terhadap barangan petroleum yang dieksport dari negeri Sarawak. Kita memang serius, kita tidak pernah menyatakan bahawa ini sesuatu yang boleh kita runding. Ini hak kita, di bawah Perlembagaan Malaysia dan kita ada ordinan kita sendiri, maka dengan itu kita akan terus laksanakannya," katanya kepada Astro AWANI di sini.



Tambah Sharifah Hasidah, kerajaan negeri telah memberi peluang kepada Petronas dengan memberi amaran mengenai hal ini (enggan bayar).

Kata beliau, notis juga telah diberikan kepada Petronas supaya membayar cukai tetapi sehingga kini tiada pembayaran dibuat.

Sebelum ini Petronas telah menawarkan bayaran wang ihsan tiga peratus sekiranya Sarawak bersetuju untuk menggugurkan cukai jualan itu.

Bagaimanapun, ia ditolak Kerajaan Sarawak menerusi surat yang dihantar Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.