KUCHING:Rakyat Sarawak memiliki kebolehan dan bakat serta mampu mencipta kandungan kreatif yang unik untuk dipersembahkan kepada penonton peringkat nasional dan antarabangsa.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, para penggiat seni kreatif tempatan kini tidak perlu lagi risau kerana Sarawak mempunyai platform iaitu TVS untuk mengetengahkan bakar luar biasa mereka.

“Saya percaya negeri Sarawak tidak ketandusan bakat kreatif dan sangat berkebolehan mencipta kandungan kreatif untuk dipertontonkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sebelum ini, mereka terpaksa mencari platform lain supaya bakat kreatif yang dimiliki dan kandungan bahan kreatif yang dicipta dapat ditonton dalam skala yang lebih besar,” kata Abang Johari.

Abang Johari berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Selain itu tambah Abang Johari dengan penubuhan TVS, warga Bumi Kenyalang boleh menjana pendapatan sekali gus sebagai platform terbaik untuk lebih dikenali.

“Siapa yang tidak kenal dengan Dayang Nurfaezah, Bob, Miss Malaysia World, Dewi Liana dan terbaru Francisca Luhong, iaitu Miss Universe Malaysia 2020, semuanya anak Sarawak.

“Saya percaya banyak lagi bakat di luar sana yang belum digilap dan diberi peluang untuk menonjolkan diri,” tambahnya.