Skip to main content

Malaysia

Sasaran lahirkan 1,280 mediator bertauliah menjelang 2030 - Aaron

BUTTERWORTH, 1 Ogos -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan pada Program Dialog Aman, Responsif dan Empati Sosial : DARES@Komuniti Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sebuah hotel hari ini.
Aaron berkata perkhidmatan mediasi menjadi mekanisme penting dalam membantu masyarakat menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dan persefahaman tanpa perlu melalui proses litigasi di mahkamah. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan untuk melahirkan 1,280 mediator komuniti bertauliah menjelang 2030 bagi memperkukuh pengurusan konflik masyarakat dan membudayakan penyelesaian pertikaian secara aman di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sasaran itu antara komitmen utama kementerian dalam memperkasakan perkhidmatan mediasi komuniti selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menekankan pengukuhan perpaduan sosial melalui pengurusan konflik secara berkesan, inklusif dan mampan.

Beliau berkata perkhidmatan mediasi menjadi mekanisme penting dalam membantu masyarakat menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dan persefahaman tanpa perlu melalui proses litigasi di mahkamah.

"Pendekatan ini bukan sahaja lebih cepat dan menjimatkan kos, malah dapat mengekalkan hubungan baik antara pihak yang terlibat serta mengukuhkan keharmonian komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi menyokong sasaran itu, Aaron berkata kementerian akan mewujudkan 12 Pusat Mediasi Komuniti baharu menjelang 2027 bagi memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan berkenaan selain memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata lokasi dikenal pasti bagi penubuhan Pusat Mediasi Komuniti baharu ialah Pusat Rukun Tetangga (PRT) Taman Khidmat di Kota Kinabalu, Sabah; Perumahan Awam (PA) Seri Kota di Kuala Lumpur; Pontian, Johor; PRT Pekan Bukit Payong, Terengganu; Shah Alam, Selangor; Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Kulim, Kedah; PAP Permatang Badak, Pahang; Machang, Kelantan; Labuan; PAP Miri, Sarawak; Kamunting, Perak; dan Jasin, Melaka.

Aaron berkata perkhidmatan mediasi disediakan adalah secara pro bono dan terbuka kepada masyarakat tanpa sebarang bayaran, sekali gus memberi peluang kepada pihak yang bertikai mencapai penyelesaian secara sukarela, profesional dan berhemah tanpa melibatkan prosiding mahkamah.

Beliau berkata peluasan rangkaian Pusat Mediasi Komuniti serta pertambahan mediator bertauliah diyakini mampu memperkukuh keupayaan negara mengurus konflik komuniti dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat harmoni, bersatu padu dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement