KLUANG: Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun cedera di bahagian ketiak kiri selepas ditanduk seekor lembu yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Murni, Layang-Layang, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa dihubungi seorang pembeli yang memaklumkan lembu yang dijual kepada individu lain untuk dijadikan korban sukar dikawal.
Menurutnya, mangsa kemudian datang ke lokasi bagi membantu menenangkan haiwan berkenaan sebelum lembu itu secara tiba-tiba bertindak agresif.
“Mangsa ditanduk di bahagian ketiak kiri ketika cuba mengawal lembu terbabit.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Bahrin berkata, mangsa ditahan di wad selama sehari dan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia, manakala seorang lagi patah rusuk selepas ditanduk kerbau dalam kejadian berasingan masing-masing di Kampung Tenang, Ulu Tiram dan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, kelmarin. - Sinar Harian