Pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat menyeru supaya penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdoa agar keputusan mahkamah memihak kepada beliau.

Dalam ucapan ringkasnya di Padang Timur di sini malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sekiranya Anwar diheret ke penjara, ia merupakan satu tragedi kepada sistem kehakiman negara.

"Saya mohon semua rakyat Malaysia untuk terus berjuang, bukan kerana Anwar Ibrahim, bukan kerana saya, tetapi kerana negara kita dan generasi akan datang," kata beliau ketika majlis makan malam yang dihadiri lebih 2,500 penyokong Anwar.

Beliau turut menyeru agar penyokong Anwar terus berdoa kerana baginya, ujian kali ini bukan mudah.

"Mohonlah doa. Saya merasakan tempoh 16, 17 tahun sudah lama. Ada juga terdetik di hati tidak mudah kali ini. Mohonlah agar kali ini, tidak lagi diuji dengan lebih kuat lagi. Kalau ujian ini datang, kita kuatkan semangat dan teruskan perjuangan.

Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden ,PKR Mohamed Azmin Ali menyeru penyokong untuk turun beramai-ramai dan berdoa agar Anwar akan dibebaskan esok.

"Saya minta anda semua bangun tengah malam dan menunaikan solat tahajjud dan solat hajat. Kita berdoa... InsyaAllah, Allah akan membebaskan Anwar."

"Selepas itu kita perlu kerja kuat. Banyak lagi isu yang belum selesai. Rakyat kena bangkit dan bawakan perubahan," kata Mohamed Azmin.

Naib Presiden PKR, Tian Chua turut memberikan ucapan yang antaranya berkata keputusan esok boleh merubah landskap politik Malaysia di masa hadapan.

"10 Februari merupakan hari yang penting dalam sejarah moden Malaysia. Esok saudara Anwar akan sekali lagi menghadap keputusan Mahkamah yang berkemungkinan boleh memberi kesan kepada kebajikan dan kesejahteraaan beliau."

"Kami akan menentukan hala tuju negara ini. Kita mahu melihat hak asasi manusia dan demokrasi," kata Tian Chua.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Mat Sabu yakin bahawa Anwar akan dibebaskan daripada pertuduhan.

"Esok malam kita akan buat kenduri dan tetamu kehormat adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata bahawa keputusan esok bukan sahaja ujian untuk Anwar tetapi untuk institusi-institusi negara juga, terutamanya sistem kehakiman negara.

"Lagi sembilan jam kita akan tahu nasib Anwar. Adakah dia akan bebas? Adakah dia akan masuk ke penjara? Saya dan Anwar pun tidak tahu keputusan mahkamah.

"Kalau kita ikut undang undang, saudara Anwar tidak perlu balik ke penjara untuk kali keempat," kata Lim Kit Siang ketika menyampaikan ucapannya.