Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata beliau akan melaksanakan tugas yang dipikulnya dengan penuh rasa sedar dan insaf.

Dalam melaksanakan amanah itu, beliau turut memetik firman Allah S.W.T di dalam Al Quran, Ayat 27, Surah Al-Anfaal, yang bermaksud :–

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”

“Peringatan Allah SWT ini akan sentiasa saya jadikan pegangan serta pedoman sepanjang saya melaksanakan amanah yang amat berat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, pelantikan ini merupakan peluang untuk beliau terus berkhidmat dan berbakti kepada negara.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya, SPRM, dalam misi SPRM menerajui usaha-usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa hormat dan takzim kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas pelantikan itu.

“Saya turut ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya lagi.

Pelantikan Datuk Dzulkifli diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa Jumaat lalu.

Beliau yang mula berkhidmat dari 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021 menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.