KUALA LUMPUR: Hari kelima banjir di Hulu Langat, Ahli Parlimennya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilihat sibuk melawat rumah mangsa selepas tiba ke tanah air pada dua hari lepas.

Menurutnya, meskipun beliau sebelum ini berada di Turki dan Iran namun Hasanuddin sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung bencana di kawasannya itu.

Bahkan, beliau juga telah mengarahkan petugas daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat untuk membantu penduduk dan pasukan penyelamat di lokasi terjejas.

Begitupun, ketika ditanya berhubung kunjungannya ke Iran, Hasanuddin menegaskan beliau berada di sana untuk membawa tugas penting untuk negara.

"Saya teruskan pertemuan dengan Timbalan Presiden Iran sebab saya bawa isu supaya Iran beli minyak sawit lebih banyak daripada negara kita.

"Ini kepentingan negara dan saya juga bawa isu untuk menurunkan cukai kerajaan Iran kepada minyak sawit daripada 40 peratus, saya usahakan kerajaan Iran kurangkan kepada 20 peratus.

"20 peratus itu adalah sama dengan cukai minyak soya dan minyak matahari. Ini (kunjungan ke Iran) adalah untuk kepentingan negara," katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, beliau pada asalnya mahu membatalkan program bertemu Timbalan Presiden Iran dan pulang ke Malaysia.

Belgitupun, beliau  tidak dapat berbuat demikian kerana penerbangan Tehran ke Kuala Lumpur hanya sekali dalam seminggu.

LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI 




Jelas beliau, arahan untuk menghadiri sidang OIC dibuat atas kapasitinya sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.

Hasanuddin mendakwa, jemputan daripada Parlimen Pakistan dan Iran adalah disebabkan beliau seorang yang aktif dalam dunia kemanusiaan dan kebajikan di peringkat antarabangsa.

Difahamkan, Hasanuddin sejak sampai ke kawasannya melakukan banyak lawatan ke rumah-rumah mangsa terjejas, bertanyakan keperluan mangsa.