Skip to main content

Malaysia

"Saya harap keadilan dan kebenaran" - Syed Saddiq

Putrajaya , 13 Julai 2026.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).Astro AWANI / SHAHIR OMMAR
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mengucup dahi Syed Saddiq sebaik anaknya itu tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi prosiding rayuan terakhir berhubung sabitan kes membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, di sini, bagi prosiding rayuan terakhir berhubung sabitan kes membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang tiba bersendirian kelihatan tenang ketika memasuki pekarangan Istana Kehakiman pada jam 8.55 pagi

Sebelum melangkah masuk ke dalam mahkamah, Syed Saddiq sempat meluangkan masa memberikan kenyataan ringkas kepada kumpulan pengamal media yang telah berkumpul sejak jam 7.30 pagi.

“Saya harap keadilan dan kebenaran. Doakan,” katanya ringkas.

Bapa beliau, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff, ketika ditemui di perkarangan mahkamah pagi ini berkata keluarga sentiasa memberikan sokongan penuh kepada anaknya.

“Bagi pihak keluarga, kami berikan restu dan doa sebanyak mungkin untuk beliau dan Insya-Allah karier beliau sebagai Yang Berhormat akan diteruskan. Amin,” katanya ringkas.

Turut hadir memberi sokongan ialah ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, serta tunangnya, Bella Astillah.

Keputusan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) akan diketahui hari ini.

Ini kerana Mahkamah Persekutuan di Putrajaya dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq itu esok, selepas keputusan kes ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq pada jam 9 pagi.

Sepanjang prosiding rayuan kes itu, pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Beliau juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Must Watch Video

Advertisement