“Sebagai anakandanya, saya ingin melihat legasi Allahyarham Tun Abdul Razak dalam menggerakkan kemajuan ekonomi orang luar bandar terus hidup”.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ayahnya yang merupakan Perdana Menteri Kedua negara itu telah mencetus idea mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mengubah kehidupan masyarakat luar bandar menjadi lebih baik.

“Dalam perjuangan Allahyarham salah satu yang menjadi perhatian utama adalah bagaimana nak mengubah dan menolong orang-orang kampung dan orang-orang miskin ini tak dapat kita nafikan.

“Kedudukan orang miskin bertambah baik ini titik tolak bermula dengan Allahyarham Tun Razak dan saya sebagai anakanda ingin melihat landasan diteruskan sampai ke hari ini,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Pekan.

Jelasnya seluruh dunia melihat Malaysia sebagai negara paling berjaya dalam menangani kemiskinan.

“Kadar kemiskinan tegar telah pun dihapuskan manakala kemiskinan relatif berada di tahap 3.8 peratus.

“Tidak dapat kita nafikan bahawa institusi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felcra Berhad (FELCRA), dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membantu ramai golongan miskin,” katanya.

Menurutnya lagi keputusan untuk meningkatkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak 100 peratus dari RM400 hingga RM800 kerana faktor pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan.

Jelasnya kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), peningkatan harga minyak dan pengurusan kewangan yang cekap telah menambah hasil negara.

Datuk Seri Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada AIM Pekan kerana merekodkan kadar bayar balik hutang sebanyak 100 peratus.

“Sudah banyak cerita wanita-wanita berjaya yang bermula dengan AIM kemudian bergerak ke Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan MARA. Ia seperti landasan anda untuk bertatih sebelum berjalan dan berlari,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk kelab usahawan AIM Pekan