MALAYSIA
“Saya percaya Ismanira dan Zaim tidak bersalah” – Datuk Zayn Rayyan

Saksi kedua, Zahari Mohd Reba berkata beliau percaya Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab dan sentiasa memberikan perhatian penuh terhadap keperluan Zayn Rayyan. - Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA : Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menyatakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa anak dan menantunya tidak terlibat dalam mengabai dan membunuh cucunya yang juga seorang kanak-kanak autistik, dua tahun lalu.
Ringkasan AI
- Zahari Mohd Reba menegaskan bahawa Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan adalah ibu bapa yang penyayang dan tidak terlibat dalam kematian cucu mereka, Zayn Rayyan yang merupakan kanak-kanak autistik.
- Ismanira didakwa mengabaikan Zayn antara 5 dan 6 Disember 2023 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Perbicaraan dijadual bersambung esok.
- Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember dan ditemui tertiarap di anak sungai berdekatan kediaman mereka keesokan harinya, menyebabkan keluarga masih menantikan jawapan sebenar mengenai punca kematian.
“Kami sekeluarga amat berduka dengan kehilangan ini, lebih-lebih lagi apabila pihak berkuasa masih belum berjaya mengenal pasti siapakah yang membunuh cucu saya,” katanya ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan utama dalam prosiding bela diri Ismanira hari ini.
Zahari turut menyifatkan hubungan antara arwah dengan ibu bapanya sangat rapat.
Menurutnya, jika Ismanira dan Zaim tidak bekerja pada hujung minggu, beliau sendiri akan memastikan Zayn dibawa ke rumah mereka untuk meluangkan masa bersama.
Dalam sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zahari, saksi itu turut menegaskan bahawa kasih sayang pasangan suami isteri itu terhadap kedua-dua anak mereka tidak berbelah bahagi.
Beliau juga memaklumkan bahawa dirinya turut terlibat dalam usaha mencari Zayn Rayyan pada hari kejadian, sementara Ismanira pergi membuat laporan polis.
Perbicaraan bela diri Ismanira dijadual bersambung esok (Khamis) pada jam 10 pagi.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang merupakan individu bertanggungjawab menjaga Zayn Rayyan, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya, di sekitar Blok R, Pangsapuri Idaman hingga ke kawasan anak sungai berhampiran.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Untuk rekod, Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada jam 10 malam keesokan harinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami