"Adakah mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menguatkan parti UMNO dan juga kerajaan?"

Itu persoalan yang dibangkitkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan sebagai mengulas cadangan beberapa pihak yang mahukan Muhyiddin dikenakan tindakan berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan parti dan negara.

"Tindakan itu mungkin akan menguatkan sesetengah pemimpin tertentu. Namun pemimpin yang baik untuk parti dan kerajaan harus berani menyuarakan perkara-perkara yang boleh menguatkan parti dan kerajaan walaupun kemungkinan akan hilang jawatan dan kedudukan.

"Kritikan dan teguran yang dibuat oleh pimpinan dan akar umbi UMNO selama ini adalah semata-mata untuk mengukuhkan parti dan kerajaan yang semakin hari tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, cuma mungkin di hati beberapa pemimpin atasan UMNO," katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau bimbang dengan situasi yang dihadapi UMNO ketika ini di mana rakyat semakin kurang keyakinan terhadap parti UMNO serta kerajaan.

Tegasnya perkara ini tidak harus dinafikan.

"Bila mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerisauan beliau dengan menegur tentang keadaan yang berlaku di dalam kerajaan dan parti bukanlah semata-mata untuk melemahkan pucuk pimpinan parti, apatah lagi untuk jatuhkan parti dan kerajaan, tetapi sebaliknya dalam erti kata lain parti dan kerajaan jauh lebih penting daripada pemimpin dan individu tertentu," katanya lagi.

Menurut Mohd Shafie, beliau sememangnya sayangkan parti (UMNO) namun lebih mahukan kedaulatan dan kemakmuran negara.

"Ya, saya sayangkan parti, tetapi saya sayangkan negara lebih dari segalanya. Kedaulatan dan kemakmuran negara adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu ataupun pemimpin tertentu," katanya.

Tambahnya, beliau kesal dengan sindrom penafian yang wujud di mana ada sesetengah pihak berpendapat bahawa jika seseorang ahli parti menegur dan mengkritik pemimpin akan dianggap tidak setia kepada parti, malah ada juga individu yang terus melabel mereka ini sebagai pengkhianat kepada parti dan ada juga yang mengatakan mereka ini seolah-olah sebagai anjing yang menggigit kaki.

Katanya, terdapat pimpinan atasan yang beranggapan UMNO kini sedang mengamalkan demokrasi tulen seperti yang diamalkan oleh parti-parti politik luar negara.

Namun, pada hakikatnya demokrasi yang diamalkan oleh parti kini tidak lagi seperti demokrasi yang terdapat di negara-negara lain.

"Lihat sahaja kepada raut wajah akar umbi parti kini. Tiada lagi yang mampu tersenyum lebar. Masing-masing cukup sedar akan tekanan yang wujud tiap kali menyuarakan sesuatu.

"Ini tidak wujud dalam parti-parti politik luar negara. Tiada suara yang tidak didengar di House of Commons di Britain, tiada gentar yang terlihat pada wajah rakyat Amerika dalam menyuarakan pandangan mereka. Mereka maklum maksud sebenar perkataan demokrasi," ujarnya.

Tegasnya, negara yang mengamalkan demokrasi yang matang dan subur memahami bahawa pentingnya untuk memberi ruang kebebasan kepada mana-mana ahli serta pemimpin parti untuk mengambil pendirian berbeza dengan pucuk kepimpinannya.

Katanya, penafian semata-mata tidak cukup untuk mengembalikan keyakinan rakyat kerana ia tidak hanya melibatkan Malaysia, malah dunia memerhati bagaimana cara negara ini menyelesaikan isu berkenaan.

"Sebaliknya apa yang lebih membimbangkan saya, individu serta kumpulan akar umbi pula yang dijadikan sasaran telah dikenakan tindakan kerana mahu mendapatkan kebenaran," katanya.

Mohd Shafie turut mengimbau krisis dalaman parti itu yang berlaku sebelum ini yang mana tiada individu yang dikenakan tindakan disiplin.

"Saya masih ingat bila mana Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam dengan lantang mengkritik kepimpinan Tun Mahathir ketika itu di merata tempat, mereka menjelajah bertemu dengan cawangan-cawangan, tiada tindakan diambil terhadap mereka.

"Begitu juga dalam zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, bila ada pimpinan-pimpinan termasuk saya sendiri menegur, namun tiada tindakan displin yang diambil terhadap mereka," tambahnya.