SUBANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebak ketika mengenang jasa dan sumbangan figura hebat Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4.40 pagi tadi.

Malah, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, beliau secara peribadi begitu rapat dengan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu.

“Saya sendiri sebenarnya dipilih oleh Tun.

“Banyak asuhan, didikan serta pesanan bagaimana kita nak perjuangkan Sarawak dan juga negara.

“… supaya menjadi lebih makmur dan maju, di mana rakyat dapat hidup bersatu padu dan harmoni,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada Rabu.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham selamat diterbangkan dari Pangkalan Udara TUDM ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menggunakan pesawat TUDM C-130 Hercules pada jam 1.58 petang.

Berkongsi lanjut, Fadillah menyifatkan bekas Ketua Menteri Sarawak itu sebagai seorang pejuang dalam membangunkan Bumi Kenyalang, termasuk dari segi ekonomi, perpaduan kaum serta kestabilan politik.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak  (GPS) itu menambah, pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Taib tiada tolok bandingnya dalam memperjuangkan pembangunan yang saksama.

“Sudah pasti kita di peringkat kepimpinan malahan rakyat, merasai kehilangan Tun, yang begitu banyak jasanya kepada Sarawak dalam segala aspek pembangunan, bagaimana menyatukan rakyat Sarawak, serta memperjuangkan nasib untuk inklusif Sarawak itu sendiri.

“Itu sudah pasti menjadi ingatan kepada rakyat semua,” ujar beliau lagi.

Fadillah Yusof sebak mengenang pemergian Allahyarham Tun Taib Mahmud


Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Tun Abdul Taib melakar sejarah dalam dunia politik Sarawak sebagai tokoh termuda mengangkat sumpah sebagai menteri pada 22 Julai 1963.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat pada 16 Mac 1981 dan memegang jawatan tersebut selama 33 tahun.