Skip to main content

Malaysia

'Saya sudah berserah kepada Allah, akan hadir dengan tenang' - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Beliau turut menyeru rakyat Muar dan seluruh Malaysia agar terus mendoakan Malaysia kekal sebagai negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.- Gambar/ Ig: Syed Saddiq
Advertisement

KUALA LUMPUR: "Saya akan hadir dengan tenang. Apa jua keputusan esok, saya tidak pernah menyesal mempertahankan prinsip dan suara hati saya," demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelang keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada Isnin.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial pada Ahad, beliau berkata sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau sentiasa hadir setiap kali dipanggil ke mahkamah tanpa sebarang penangguhan, jalan pintas atau layanan istimewa.

"Malam ini saya tidak meminta simpati. Saya cuma mahu bercakap tentang siapa kita apabila diuji.

"Saya memilih mahkamah kerana di negara yang kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang, bukan kuasa."

"Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad. Saya tidak akan mendahului mahkamah. Saya hormati prosesnya,Whatever happens tomorrow, I have no regrets in defending my principles and moral conscience, regardless of the consequences," jelasnya.

Beliau berkata kepimpinan sebenar bukan diuji ketika segala-galanya berjalan lancar, sebaliknya apabila masa depan dan kebebasan dipertaruhkan, namun seseorang itu masih memilih jalan yang benar, bukannya dendam.

Beliau turut menyeru rakyat Muar dan seluruh Malaysia agar terus mendoakan Malaysia kekal sebagai negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah. Kebenaran tidak perlukan kuasa untuk berdiri. Kepada Allah saya berserah," ujarnya.

Pada Isnin, 13 Julai Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq selepas keputusan kes ditangguhkan pada 30 Jun lalu.

Penangguhan itu susulan seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.

Ia sekali gus bakal memuktamadkan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq pada jam 9 pagi.

Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Must Watch Video

Advertisement