Kedudukan empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memberi sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional negeri Melaka akan ditentukan selepas pertemuan Ketua Menteri dengan ketua parti masing-masing di negeri itu.

Demikian jelas Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali berhubung kedudukan kesemua Ahli Exco itu yang sebelum ini dilantik dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Empat wakil rakyat itu dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Exco Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan Negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; dan Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad.

BACA: Sulaiman Md Ali angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-12

Manakala Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dari PKR dan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee dari DAP.

Jelas Sulaiman, keputusan hanya akan dibuat selepas pertemuan bersama ketua parti masing-masing sebelum senarai barisan Exco baharu kerajaan Perikatan Nasional dipersembahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat.

"Insya-Allah empat Exco ini, saya harus merujuk setelah mendapat keputusan daripada ketua parti mereka sendiri dan seterusnya akan saya persembahkan kepada Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat.

"Apabila telah mendapat keputusan daripada Tun Mohd Khalil, saya akan buat satu lagi sidang media membariskan Exco kerajaan negeri Melaka dalam masa terdekat. Buat masa ini, beri saya masa sedikit, saya mesti melakarkan di kalangan mereka (Exco) mempunyai latar belakang yang boleh beri kerjasama dengan semua pihak serta saya," kata Sulaiman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran di sini pada malam Isnin.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu itu berkata, beliau terbuka untuk mengekalkan kedudukan kesemua empat wakil rakyat itu dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional Melaka, namun ianya perlu mendapat persetujuan Mohd Khalil.

Mengikut Perlembagaan Negeri, Ketua Menteri mempunyai tempoh tujuh hari bagi melantik barisan Exco dan perlu mendapat persetujuan Yang Di-Pertua Negeri itu.

Terdahulu, Sulaiman diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri di Dewan Seri Utama, Seri Negeri pada Isnin.