Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan beliau dan jemaah kabinetnya akan tetap istiqamah dan fokus dalam urusan pentadbiran walau apapun serangan politik yang diterima.

Malah, beliau yakin sebarang tohmahan yang diterimanya bakal terjawab sebaik sahaja siasatan yang dilakukan selesai.

Pesan beliau, walau apapun serangan, ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dinasihati supaya tidak hilang hala tuju dan terus komited untuk laksanakan pelan yang dirangka.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa ahli parlimen Ketereh dari BN di Dewan Rakyat pada Rabu.

Annuar, dalam soalan tambahannya, bertanya adakah Najib sedar beliau berhadapan dengan tekanan dan kempen benci yang rancak dijalankan serta apakah pendirian perdana menteri berhubung perkara itu.



Najib turut menyatakan perbandingan berhubung apa yang berlaku terhadap dirinya kini dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran yang dilemparkan kepada beliau seperti mahazalim, mahafiraun dan lain-lain, tapi sekarang ni (boleh) duduk bersama pembangkang pula," katanya.

Najib berkata beliau bertanggungjawab kepada rakyat dan akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan.

"Saya serahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang 1MDB malah (isu) RM2.6 bilion juga, ada proses yang ditentukan pihak berkenaan. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap diteruskan," kata Najib.