KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah tampil untuk mempertahankan diri dan berkata beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta empat anak syarikatnya.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan oleh peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas berhubung saman sivil oleh 1MDB, Jho Low, 41, mendakwa saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low, ibu bapanya iaitu Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Jho Low berkata beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif.

Oleh itu, Jho Low berkata beliau tidak mempunyai kedudukan perundangan untuk melaksanakan kawalan ke atas plaintif, termasuk tetapi tidak terhad kepada mengarahkan atau menyebabkan pemindahan dan/atau penerimaan dana.

Jho Low berkata saman 1MDB terhadapnya adalah lewah kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah mencapai satu penyelesaian yang komprehensif dan global dengan beliau berhubung tindakan sivil badan itu terhadapnya yang mempunyai kaitan dengan 1MDB tanpa sebarang dapatan "kebersalahan, kesalahan, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku."

Beliau mendakwa tindakan sivil 1MDB terhadapnya ketika ini adalah berdasarkan pemfailan DoJ berkaitan dakwaan tertentu, dan mendakwa dana kekayaan negara itu pada masa yang sama mengabaikan resolusi tindakan sivil DoJ terhadapnya.

Jho Low mendakwa resolusi tindakan sivil DoJ telah membawa kepada pelucuthakan secara sukarela dan penghantaran balik aset untuk faedah mutlak kerajaan Malaysia, yang pada akhirnya juga untuk faedah plaintif.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, semua plaintif mendakwa mereka telah dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memudah cara penipuan berskala besar serta berjangka panjang yang mengakibatkan berbilion-bilion ringgit telah diseleweng ke dalam akaun peribadi untuk manfaat pelbagai penipu termasuk defendan.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 9 Feb.

-- BERNAMA