SC lancar program sokong profesional wanita kembali bekerja dalam pasaran modal

Mohammad Faiz berkata program itu telahpun mendapat sambutan positif dengan lebih 600 permohonan diterima. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan program 'investED for Returning Women', latihan khusus yang bertujuan untuk membantu golongan profesional wanita kembali bekerja dalam pasaran modal selepas berehat daripada kerjaya.
Ringkasan AI
- SC melancarkan program 'investED for Returning Women' untuk membantu wanita profesional kembali bekerja dalam pasaran modal selepas berehat dari kerjaya.
- Program ini bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah dan tenaga kerja, memberi impak positif kepada proses membuat keputusan yang lebih seimbang dan hasil perniagaan yang lebih baik.
- Program ini terima lebih 600 permohonan dan peserta dipilih akan mengikuti dua fasa iaitu 'Refresh' dan Kemahiran Semula, dengan insentif RM2,000 bagi yang menamatkan kedua-dua fasa.
"Kepelbagaian jantina yang lebih meluas menyumbang secara langsung kepada proses membuat keputusan yang lebih seimbang dan hasil perniagaan yang lebih baik," katanya menerusi ucapan alu-aluannya pada pelancaran program itu hari ini.
Mohammad Faiz berkata program itu telahpun mendapat sambutan positif dengan lebih 600 permohonan diterima.
Peserta yang dipilih -- dengan latar belakang merangkumi sektor perbankan, kewangan dan korporat -- akan didaftarkan dalam fasa pertama yang dipanggil 'Refresh'.
SC dalam satu kenyataan berkata 'Refresh' memberi tumpuan kepada membina keyakinan, memperkenalkan semula budaya tempat kerja dan meningkatkan kemahiran insaniah melalui klinik kerjaya, bimbingan peribadi dan perangkaian.
Fasa kedua, Kemahiran Semula, melengkapkan para peserta dengan kemahiran teknikal terkini dan pengetahuan industri yang berkaitan dengan pasaran modal masa kini, disokong oleh latihan, pendedahan dan langkah susulan sepanjang enam bulan pertama kembali bekerja.
"Fasa-fasa ini menyediakan ruang yang komprehensif untuk wanita kembali bekerja dengan jayanya. Peserta yang melengkapkan kedua-dua fasa akan menerima insentif RM2,000 dan sijil," katanya.
SC berkata 'investED for Returning Women' akan mengambil pendekatan yang serupa dengan Program Kepimpinan investED yang menggabungkan pembelajaran bilik darjah, bimbingan dan penempatan industri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


