JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes dihadapi seorang suami  yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya, bulan lalu.

Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memberitahu masih belum mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan psikiatri terhadap tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki memaklumkan pihaknya memerlukan masa kira-kira sebulan lagi bagi memperoleh dokumen-dokumen berkaitan untuk meneruskan pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, tertuduh yang berusia 24 tahun itu tidak dikemukakan ke mahkamah kerana masih dirujuk di Hospital Permai, Johor Bahru bagi rawatan psikiatri.

Bagaimanapun ketika prosiding, dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari.

Sementara itu, kelibat ahli keluarga tertuduh dan juga keluarga mangsa turut kelihatan di luar bilik mahkamah.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, serta bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang baru berusia dua bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu di sini, sekitar 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu,

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Jenayah | Suspek bunuh isteri, bayi direman 7 hari