KUALA LUMPUR: Sedenak, Johor akan menjadi ‘flagship’ keenam di Iskandar Malaysia selepas Pusat Bandar Johor Bahru; Iskandar Puteri; Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin; Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta SenaiSkudai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangunan di Sedenak akan memberi tumpuan kepada industri agroteknologi; teknologi tinggi; penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.

"Pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.

"Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) secara maya yang turut dipengerusikan bersama Datuk Hasni Mohamad.

Selain itu, beliau berkata Iskandar Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sepanjang tahun 2021, Ismail Sabri memaklumkan seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

"Melalui ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ (IMEG), sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baru termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.

"Sementara itu, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia," katanya.

Mengikut rekod, sejumlah 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian manakala 730  peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 peratus hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan.

Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat menyewa daripada membeli rumah, Ismail Sabri berkata skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.

"Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya lagi.