"Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar dengan ketibaan sebahagian pelajar Malaysia malam tadi. Usaha perlu diteruskan."

Catatan laman Twitter Evakuasi Pelajar Yaman membayangkan rasa syukur wakil pelajar Malaysia di Yaman yang mula meninggalkan negara itu ekoran keadaan yang sedang bergolak.


Pada Sabtu, 94 rakyat Malaysia yang dipindahkan keluar dari Yaman, berikutan pergolakan di negara itu, selamat tiba di tanah air.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada jam 11.25 dengan menaiki Oman Air Penerbangan WY821 yang berlepas dari Muscat pada 9.45 pagi (waktu tempatan).

Kebanyakan mereka adalah pelajar termasuk anak Menteri Besar Kelantan Irsyad Abdul Hakim Ahmad.

Sebelum itu, laman Twitter berkenaan turut memuat naik beberapa gambar pelajar yang bersyukur dan gembira kerana selamat sampai ke tanahair daripada keadaan bergolak di Yaman.


Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menerangkan sejumlah 252 rakyat Malaysia, termasuk 94 individu yang tiba semalam, telah dibawa pulang sejak 7 April, berikutan perang saudara yang semakin meruncing di Yaman.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, seorang pelajar tahun akhir pengajian Islam Universiti Yamaniah di Sanaa, Abdul Qudus Yusof, 24, berkata penerbangannya dengan MH151 hanya melibatkan pelajar lelaki memandangkan kesemua pelajar wanita sudah pulang semalam.

"Tiada lagi pelajar Malaysia di Sanaa dan Hudaidah kini. Semuanya sudah pulang ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, laman Facebook Persatuan Pelajar Malaysia Yaman memaklumkan mereka mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang terlibat menjayakan proses evakuasi OPS BALQIS III Sana'a & Hudaidah.

"Semoga beroleh ganjaran yang berlipat kali ganda atas pengorbanan kalian.

"Juga kami memohon kemaafan jika ada kelemahan atau kekurangan dalam mengendalikan proses evakuasi kali ini.

"Sedang menyusul ketika ini proses evakuasi dari Aden & Hadramaut. Moga dalam lindungan Allah selalu. Amin," kata laman tersebut.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob sebelum ini turut dilaporkan memuji tindakan pantas kerajaan pusat yang segera membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

Jelas Ahmad, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Yaman melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah satu tindakan tepat.