Sekurang-kurangnya 60 terbunuh dalam insiden letupan bom kereta di sebuah pusat latihan tentera di Aden, Yaman.

Angka korban dijangka akan terus meningkat berikutan jumlah mereka yang cedera turut tinggi.

Laporan awal menyebut 11 terbunuh dalam serangan bunuh diri yang berlaku pada Isnin waktu tempatan.

Menurut laporan AFP, penyerang bertindak memandu kenderaannya ke arah sekumpulan anggota tentera pelatih baharu sebelum kenderaan itu meletup.

“Pihak keselamatan masih memindahkan mereka yang terbunuh dan cedera dari kawasan kejadian,” lapor seorang anggota tentera.

Bandar pelabuhan itu menempatkan kem sementara tentera Yaman yang disokong oleh kerajaan Arab Saudi dan menyaksikan siri serangan dan letupan baru-baru ini.

Kumpulan pro al-Qaeda dan Daish dikatakan mengambil kesempatan dari pergolakan masyarakat sunnah dan syiah untuk menjadikan pegawai kerajaan sebagai sasaran dalam serangan mereka.

Lebih 6,600 penduduk, kebanyakannya orang awam terkorban dalam konflik itu sejak Mac 2015.