KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing dalam kadar segera bagi memenuhi permintaan industri yang memerlukan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu ini akan merencatkan proses pemulihan negara terutama yang membabitkan sektor dan industri pembinaan.

"Sektor pembinaan masih mengalami penguncupan dengan laporan DOSM menunjukkan nilai kerja pembinaan menguncup 6.1 peratus kepada 29.5 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

"Sektor ini juga masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan selain kini berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan seperti bar keluli, simen, batu baur, pasir dan batu bata.

"Majlis telah berkali-kali membangkitkan isu pekerja asing yang masih tidak dapat memenuhi permintaan industri-industri yang memerlukannya. Ini berisiko untuk merencatkan proses pemulihan negara dan ini perlu diselesaikan oleh Kerajaan secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN, pada Selasa.

Indikator ekonomi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan Jun 2022 telah merekodkan jumlah dagangan Malaysia meningkat 43.4 peratus dengan nilai RM270.4 bilion.

"Sebahagian besar pertumbuhan ini adalah daripada pertumbuhan eksport yang berkembang sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion disokong oleh permintaan daripada dalam dan luar negara, pertambahan perbelanjaan dalam sektor swasta dan awam serta pembukaan semula sempadan dan aktiviti ekonomi.

"Ini juga membuktikan bahawa negara mempunyai asas yang kukuh dalam pertumbuhan perdagangan ke arah proses pemulihan," tambahnya.