MALAYSIA
Segera tangani cabaran dihadapi warga emas - Lee Lam Thye

Tan Sri Lee Lam Thye berkata warga emas merupakan tonggak masyarakat yang telah membentuk keluarga, institusi dan nilai murni melalui dedikasi, pengorbanan dan kebijaksanaan mereka. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 menjadi seruan kepada tindakan segera untuk melindungi martabat dan kebajikan golongan tersebut di Malaysia, meliputi aspek penjagaan kesihatan, keselamatan kewangan, jurang digital dan penderaan.
Ringkasan AI
- Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 menyeru tindakan segera melindungi kebajikan warga emas termasuk aspek kesihatan, kewangan, jurang digital dan penderaan.
- Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan perlunya dasar lebih inklusif bagi memastikan penjagaan kesihatan, kestabilan kewangan dan sokongan mental golongan warga emas terjamin.
- Beliau menyeru masyarakat dan pembuat dasar menghargai warga emas bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan dan perubahan bermakna.
"Masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia diseru menzahirkan penghargaan kepada sumbangan tidak ternilai warga emas dan mendepani cabaran dihadapi mereka dengan empati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lee berkata peningkatan kos perubatan dan perkhidmatan geriatrik (kajian perawatan serta penjagaan kesihatan orang tua) yang terhad menyebabkan ramai warga emas terdedah kepada risiko, sekali gus menuntut kepada penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mampu milik bagi memenuhi keperluan itu.
Selain itu, kesunyian dan kemurungan dalam kalangan warga emas juga semakin membimbangkan, dan Lee berkata penglibatan komuniti serta sokongan kesihatan mental mesti diutamakan untuk memastikan kesejahteraan emosi golongan tersebut.
Berhubung aspek kewangan, beliau berkata pencen tidak mencukupi, inflasi dan diskriminasi usia dalam pekerjaan mengancam kestabilan pesara, membawa kepada keperluan perlindungan lebih kukuh dan dasar polisi ekonomi lebih inklusif.
Lee berkata kebimbangan terhadap jurang digital pula boleh diatasi menerusi program latihan dan akses kepada teknologi, supaya warga emas dapat terus berhubung dan menerima perkembangan bidang tersebut.
Beliau berkata warga emas juga berhak memperoleh jaminan keselamatan dan maruah mereka, dengan kempen kesedaran serta perlindungan undang-undang diperlukan bagi mencegah penderaan dan menjamin keadilan untuk golongan itu.
"Hari warga emas bukan hanya sambutan, tetapi peringatan bahawa menua perlu diterima dan bukan ditakuti. Warga emas kita berhak menerima lebih daripada sekadar penghormatan, mereka memerlukan tindakan.
"Hari Warga Emas Kebangsaan merupakan seruan kepada pembuat dasar, komuniti dan semua untuk membina masyarakat yang menerima usia tua dengan maruah, keselamatan dan kegembiraan.
"Mari kita menghargai warga emas bukan hanya dengan kata-kata, tetapi menerusi perubahan yang bermakna," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami