Sekolah buka atau tutup? Itu soalan yang kini jadi tanda tanya bukan saja di kalangan ibu bapa tetapi juga pentadbir sekolah khasnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang sekarang berdepan dengan keadaan berjerebu. Jangan kita lupa, itulah juga soalan sama yang ditanyakan oleh pemandu bas sekolah.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Isnin menyerahkan keputusan itu kepada pihak pengurusan sekolah. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dan diedarkan kepada media lebih kurang pukul 6.30 petang Isnin.
Petikan kenyataan itu berbunyi: "Berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) melebihi 300. Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk (Kementerian Pendidikan) untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.
Semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula."
Kenyataan itu dikeluarkan hasil keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan pada Isnin di Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada(kementerian)," kata Abdul Ghafar.
Kenyataan itu menyusul laporan yang memetik Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa dibenar untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah tetapi hendaklah memaklumkan pihak sekolah terlebih dahulu. Ertinya, terserahlah kepada ibu bapa untuk menentukan sama ada wajar atau tidak anak mereka ke sekolah.
Laporan sama juga memetik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata sekolah-sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka ditutup pada Selasa memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk.
Sekarang ini, soalnya kenyataan yang mana satu boleh kita pakai? Dalam keadaan bagaimanakah sebenarnya sekolah akan ditutup?
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin dilaporkan oleh media menjelaskan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri akan merujuk kepada bacaan terakhir pada pukul 5 petang untuk membuat keputusan sekolah dibuka atau ditutup pada hari berikutnya.
Sekiranya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sekolah akan ditutup jika bacaan IPU mencecah 300, atas perkiraan apakah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup pada Isnin? Ini kerana pada pukul 5 petang Ahad, bacaan IPU di Kuala Lumpur dan Selangor berada antara 133 hingga 214.
Adakah keputusan menutup sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor itu merujuk kepada pelan tindakan yang dipersetujui itu? Apakah keadaan sihat dan tidak sihat yang menjadi landas untuk sekolah dibuka atau ditutup? Apakah maknanya bacaan IPU 100 hingga 200 dikelaskan sebagai tidak sihat tetapi sekolah hanya boleh ditimbangkan untuk ditutup jika bacaan melebihi 250?
Sekiranya keputusan membuka sekolah dibuat berdasarkan kepada bacaan IPU pada pukul 5 petang hari sebelumnya, apa akan jadi jika bacaan jadi bertambah buruk kemudiannya?
Ini semua soalan yang ditanyakan oleh banyak orang sekarang.
Apa yang berlaku di Seri Manjung, Perak hari ini mungkin boleh kita renung bersama. Bacaan IPU di bandar itu pada pukul 5 petang Isnin ialah 171 — bermakna sekolah tidak akan ditutup pada Selasa. Bacaan itu meningkat kepada 288 pada pukul 7 pagi sebelum jadi lebih buruk 307 pada pukul 8 pagi dan 330 pada pukul 10 pagi.
Di Shah Alam pun ceritanya lebih kurang sama. Bacaan IPU di Shah Alam pada pukul 5 petang Isnin ialah 171 tetapi memburuk pada pagi Selasa — 289 pada pukul 7 pagi dan kemudian meningkat kepada 299 pada 10 pagi.
Kalau mengikut piawai yang ditetapkan dalam pelan tindakan yang dimaklumkan kepada umum, sekolah-sekolah di Seri Manjung dan Shah Alam boleh ditutup. Malah ada guru besar yang mengambil keputusan menutup persekolahan hari ini kerana keadaan jerebu yang teruk.
Sebuah sekolah di Subang Jaya membuat keputusan itu lebih kurang pukul 11 pagi dan ibu bapa dipanggil oleh pihak sekolah untuk mengambil anak masing-masing. Selepas pengumuman tutup itu, anak-anak berbaris panjang di telefon awam untuk menghubungi ibu dan ayah.
Hari ini, soalan sama jadi tanda tanya lagi. Ibu bapa berhak untuk mendapatkan kepastian kerana ia akan memudahkan mereka membuat keputusan apatah lagi bagi ibu bapa yang bekerja.
Soalnya begini: Bolehkah pihak yang berkenaan membuat satu keputusan yang jelas?
Keadaan yang berjerebu ini sudah cukup rengsa bagi banyak orang. Tidak usahlah keadaan tidak menyenangkan ini ditambah dengan ketidakpastian.
Noor Azam Shairi
Tue Jun 25 2013
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
PBB akan undi gencatan senjata segera dilaksanakan
Resolusi itu juga menuntut pembebasan semua tebusan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang.
127 terbunuh dalam dua hari di Sudan
Terbaharu pada Selasa, kumpulan hak asasi manusia, Emergency Lawyers memaklumkan sekurang-kurangnya 20 termasuk 14 orang yang menaiki bas terbunuh di Omdurman, Sudan.
Suspek bunuh CEO bakal mohon esktradisi
Menurut peguam Luigi Mangiyone, Thomas Dickey, pihaknya akan melakukan permohonan itu mengikut peraturan undang-undang perlembagaan.
[TERKINI] Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2.
Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.
Pakistan, India isytihar darurat kesihatan akibat jerebu
Hospital dalam keadaan berjaga-jaga, waktu operasi klinik dilanjutkan beberapa jam dan petugas perubatan diarahkan melakukan syif tambahan.
Jerebu akibat kebakaran terbuka dan kemarau, ibu bapa risau kesihatan anak
Keadaan jerebu akibat pembakaran terbuka dan kemarau yang melanda daerah Papar membuatkan ibu bapa bimbangkan kesihatan anak-anak.
Bangkok dilanda jerebu tebal, seluruh Thailand catat udara tidak sihat
Bangkok dan 66 wilayah di Thailand itu terus diselubungi jerebu dengan zarah tidak selamat pada PM2.5 direkodkan pada Khamis.
El Nino: Persiapan rentas agensi hadapi cuaca panas
Antara yang akan turut serta adalah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan.
Jerebu: Klang kekal catat bacaan IPU tidak sihat
Antara kawasan yang menghampiri bacaan IPU tidak sihat seperti di Petaling Jaya (90) dan Banting (89) di Selangor.
Jerebu: Hanya satu kawasan catat bacaan IPU tidak sihat
Klang di Selangor mencatatkan bacaan IPU tertinggi pada paras 154.
Empat kawasan catat bacaan IPU tidak sihat setakat 9 pagi
Empat kawasan di Semenanjung mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Dua kawasan catat bacaan IPU tidak sihat pagi ini
Berdasarkan laman web APIMS kendalian JAS, Klang di Selangor catat bacaan IPU tertinggi pada paras 153.
Jerebu: Batu Pahat, Alor Gajah catat IPU tidak sihat pagi ini
Batu Pahat di Johor dan Alor Gajah, Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 10 pagi ini dengan bacaan IPU masing-masing 152 dan 151.
Jerebu: Batu Pahat, Larkin kekal catat IPU tidak sihat petang ini
Dua kawasan di Johor kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 4 petang ini.