Skip to main content

Malaysia

Sekolah Sukan Malaysia Perlis dijangka siap Januari 2027 - Menteri Besar

KANGAR, 5 Jun -- Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menjawab soalan pengamal media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada hari ketiga Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Abu Bakar berkata, kemajuan projek berkenaan kini mencapai kira-kira 60 peratus dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kerajaan Persekutuan turut menunjukkan komitmen. - Gambar fail/Bernama

KANGAR: Projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar, yang terbengkalai sekian lama dijangka siap pada Januari 2027, kata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata kemajuan projek berkenaan kini mencapai kira-kira 60 peratus dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kerajaan Persekutuan turut menunjukkan komitmen dalam memastikan pelaksanaannya dapat diselesaikan segera.

"Saya jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Mac lepas dan beliau begitu komited untuk membantu Perlis serta menyelesaikan isu sekolah sukan ini. 

"Saya minta tolong dan keesokan harinya beliau sendiri menghubungi saya serta memaklumkan arahan telah diberikan supaya pembinaan dan pelaksanaan sekolah sukan itu disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Abu Bakar berkata sekolah sukan yang dinamakan bersempena nama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa hadapan.

Pada 27 April tahun lepas menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri antara lain menyatakan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.

Persidangan DUN Perlis ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement