PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan berjaya mencapai beberapa kejayaan memberangsangkan dalam menerajui ekonomi negara sepanjang tahun 2023.

Ia merangkumi semua sektor pengangkutan darat, maritim dan udara, meskipun negara berdepan pelbagai cabaran domestik dan antarabangsa.

Menurut Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, antara kejayaan membanggakan termasuk menambah hasil kutipan negara, demi pembangunan bersama.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan penambahan kutipan hasil dari RM4.90 billion pada 2022 ke RM5.07 billion pada 2023, pertumbuhan sebanyak 3.53%.

"Kutipan hasil bayaran tender nombor perdaftaran turut meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta pada 2023, pertumbuhan sebanyak RM68.1 juta atau 13.6%," tambahnya.

Untuk siri GOLD yang dilancarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 pada 1 Feb lalu, JPJ turut merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan.

Menurut Loke, 50% daripada hasil Nombor Pendaftaran Istimewa akan disalurkan kepada inisiatif-inisiatif kementeriannya.

"Ia seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar, subsidi FlySISWA dan caruman PERKESO kepada pemandu teksi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sua Kasih Madani dan perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Menurut Loke lagi, statistik sektor maritim juga menunjukkan prestasi cemerlang yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Sebagai dua tunjang pelabuhan Malaysia, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas terus kekal pada 20 pelabuhan terutama dan tersibuk di dunia.

"Saya amat bangga Pelabuhan Kelang mencatat jumlah kontena tertinggi dalam sejarah iaitu 14.06 juta TEU pada 2023 berbanding dengan 13.22 juta TEU pada 2022.

"Manakala Pelabuhan Tanjung Pelapas memproses 10.48 juta TEU pada 2023 berbanding 10.51 juta TEU pada 2022," tambahnya.

Loke berkata, prestasi cemerlang tersebut mencerminkan kepesatan ekonomi Malaysia sebagai komponen penting di rantaian bekalan dunia.

Sektor udara juga, katanya, mencapai prestasi cemerlang dengan peningkatan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik sebanyak 10.7% pada Jan 2024 berbanding Jan 2023.

"Jumlah pergerakan penumpang dicatatkan di lapangan terbang seluruh negara adalah 81.9 juta orang pada tahun 2023, tertinggi sejak pandemik COVID-19.

"Berbanding dengan 121 destinasi pada 2022, Malaysia mempunyai 147 laluan penerbangan yang berhubung dengan seluruh dunia, dengan peningkatan sebanyak 25%," katanya.

Tambahnya, walaupun menghadapi pelbagai rintangan, sektor pelancongan yang berkembang akan membantu pemulihan sektor runcit, perkhidmatan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi Malaysia pasca pandemik.

Trend positif dalam sektor pengangkutan menunjukkan negara kita sedang menjurus ke arah pemulihan dan terdapat potensi yang baik untuk pertumbuhan yang lebih rancak, kata Loke.