KUALA LUMPUR: Kerajaan negara Islam digesa bangkit menentang kekejaman Zionis Israel dan pada masa sama menggerakkan bantuan kemanusiaan ke bumi Palestin.

Seruan itu dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu keadilan di bumi Palestin dilaksana dan dipertahankan.

“Saya seru supaya ia menjadi pengajaran kepada pemerintah dan kerajaan dunia Islam yang malap, lemah dan tidak ada kekuatan serta keberanian melakukan sesuatu, untuk mempertahankan keadilan di negara mereka dan umat di Palestin,” ujar Anwar dalam muat naik video di akaun media sosial miliknya.

Jelas beliau, situasi ketika ini menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan Palestin tidak boleh diharapkan kepada badan dunia lantaran kelemahan negara Islam itu sendiri.

"Negara Barat mengambil sikap yang sangat hipokrit, bertentangan dengan nilai kemanusiaan. 

"Mereka membantah ketuanan kulit putih, Aparteid, tetapi tidak dalam isu ini. Jadi, kita (negara Islam) harus bertindak," katanya. 

Sementara itu, dalam kemas kini kutipan dana untuk kebajikan rakyat Palestin, Anwar berkata, dalam tempoh 24 jam, pihaknya dapat mengumpulkan sebanyak RM500,000.

“Lantaran keadaan terdesak di Semenanjung Gaza, kami telah mengirimnya dengan segera kepada mereka.

“Mengharapkan ia dapat memberi kelegaan kepada para penduduk yang terkesan dan membantu kebajikan mereka,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menggesa pertubuhan tempatan serta komuniti antarabangsa untuk segera menghulurkan bantuan semampu yang mungkin dalam membela warga tertindas di sana.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan