Selangor cadang cukai vape diagihkan kepada negeri, PBT untuk perkasa penguatkuasaan dan pendidikan awam

Jamaliah berkata tanpa agihan sumber yang sewajarnya kepada kerajaan negeri dan PBT, usaha penguatkuasaan hanya akan tertumpu pada peringkat pusat sekali gus menyukarkan pelaksanaan menyeluruh. - Gambar fail/BERNAMA
?SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian daripada kutipan cukai penjualan produk rokok elektronik (vape) disalurkan kepada semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ringkasan AI
- Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin mencadangkan sebahagian hasil cukai jualan produk vape disalurkan kepada kerajaan negeri dan PBT.
- Cadangan itu bagi membolehkan kerajaan negeri dan PBT menjalankan penguatkuasaan, program kesedaran serta rawatan pemulihan ketagihan nikotin dengan lebih berkesan.
- Jamaliah turut menggesa Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri bekerjasama dalam kawalan vape, susulan cadangan kenaikan cukai vape daripada 40 sen kepada RM4 setiap mililiter.
"Selain itu, ia juga boleh dimanfaatkan dengan penyediaan sokongan kepada institusi pendidikan, komuniti dan PBT dalam memantau dan mencegah penjualan vape di kawasan larangan selain menyediakan rawatan pemulihan bagi mereka yang ketagihan nikotin, terutamanya golongan muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamaliah berkata tanpa agihan sumber yang sewajarnya kepada kerajaan negeri dan PBT, usaha penguatkuasaan hanya akan tertumpu pada peringkat pusat sekali gus menyukarkan pelaksanaan menyeluruh.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan mekanisme ?kolaboratif antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam isu pengawalan vape.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata KKM mencadangkan supaya kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan sebanyak 10 kali ganda, daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml).
Beliau berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami